Tuesday, May 18, 2010

Bahkan Kamu Yang Sesat Wahai Tijani, BAB KETIGA: Menjawab Tuduhan Tijani Bahawa Al Quran Mencela Sahabat, Bahagian 5 oleh Shaykh Khalid al-�Asqalani

Bahkan Kamu Yang Sesat Wahai Tijani, BAB KETIGA: Menjawab Tuduhan Tijani Bahawa Al Quran Mencela Sahabat, Bahagian 5 oleh Shaykh Khalid al-‘Asqalani


Seterusnya Tijani menyebutkan: “Ini satu lagi contoh ayat yang menjadi dalil bahawa para sahabat memang ada berasa berat (dengan melambat-lambatkan) untuk keluar berjihad. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah maha luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya. (Surah al-Ma`idah: 504)  [1]

Jawapan:

          1- Ayat ini merupakan dalil paling kuat yang menyentuh tentang keagungan para sahabat Nabi saw, kerana merekalah yang difokuskan dalam ayat ini. Sebilangan besar ahli tafsir menyebutkan bahawa ayat ini turun berkaitan dengan Abu Bakar dan sahabatnya. Antara yang berpendapat demikian ialah Al-Hasan, Dahhak, Qatadah dan Ibnu Juraij[2]. Al-Tabari menyebutkan dalam tafsirnya bahawa ‘Ali bin Abi Talib berkata: (Ayat ini diturunkan berkenaan Abu Bakar dan sahabat-sahabatnya!! Ada di kalangan ahli tafsir yang berpendapat ayat ini turun berkenaan golongan Ansar dan ada sebahagian meraka berpendapat ayat ini diturunkan berkenaan penduduk Yaman iaitu Qabilah Abu Musa Al-Asy’ari. Walau apa pun tafsiran yang dibuat, secara umumnya ayat ini memfokuskan kepada sahabat secara keseluruhan dan sudah pasti yang paling utama adalah Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman, ‘Ali dan para sahabat yang lain. Hakikat ini disokong oleh kenaytaan yang dikeluarkan oleh Tabarsi dalam tafsirnya ketika menghuraikan ayat ini, ujar beliau: “….. tidak disepakati siapa di kalangan sahabat yang dimaksudakan dengan cirri-ciri tersebut.Ada dikatakan terdapat riwayat dari Hasan, Qatadah dan Dahhak yang menyebutkan mereka yang dimaksudkan dalam riwayat ini ialah Abu Bakar dan para sahabat yang berjuang memerangai golongan murtad. Ada pula pendapat yang diriwayatkan daripada al-Suddi bahawa mereka adalah golongan Ansar. Sementara itu ada dikatakan daripada Mujahid bahawa mereka adalah penduduk Yaman …….. ada pendapat bahawa mereka penduduk Parsi ……. ada pula yang menyebutkan mereka adalah Amirul Mukminin Ali (a.s) dan para pengikutnya[3]).

2- Untuk membuktikan bahawa para sahabat terutamanya khalifah empat adalah orang yang terawal dimaksudkan oleh ayat ini secara umumnya, marilah kita meneliti ayat berkenaan. Firman Allah yang bermaksud: “maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia…. Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa Allah menyayangi para sahabat nabi s.a.w kerana merekalah yang melindungi dan membantu Rasulullah s.a.w. serta berjuang bersamanya maka dengan sebab itu para sahabat layak bahkan berhak memperolehi keredaan Allah s.w.t. dan perkara ini jelas  sebagaiman firman-Nya yang bermaksud:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Dan orang-orang yang terdahulu -yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar”… (Surah al-Tawbah: 100)

Dan firman Allah yang bermaksud:

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا (18) وَمَغَانِمَ كَثِيرَةً يَأْخُذُونَهَا وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا (19)

“Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;# Dan juga dengan banyak harta rampasan perang, yang mereka akan dapat mengambilnya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Surah all-Fath: 18-19).

Tidak dapat disangkal lagi bahawa golongan Muhajirin, golongan Ansar dan orang-orang yang berbaiah kepada Nabi di bawah pokok merupakan para sahabat yang mulia dan yang paling utama di kalangan mereka adalah khalifah empat r.a.hum. Selain itu ayat ini juga memberi kesimpulan wajib menyayangi serta mengasihi para sahabat Nabi saw. Manakala firman Allah yang bermaksud: “mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir”…. merupakan bukti jelas yang menggambarkan personaliti para sahabat terutamanya Abu Bakar dan Sayyidina ‘Umar, lebih jelas lagi jika dilihat firman Allah dalam surah al-Fath ayat 29, yang bermaksud:

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ

“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)…..”.

Semua pihak menerima bahawa Abu Bakar dan ‘Umar termasuk dalam kategori “orang-orang yang bersama Nabi Muhammad s.a.w.” dan semua pihak juga menerima bahawa mereka berdua adalah merupakan sahabat yang paling utama di kalangan para sahabat, kemudian diikuti oleh ‘Uthman, ‘Ali dan seterusnya para sahabat yang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda:

أَرْحَمُ أُمَّتِي بِأُمَّتِي أَبُو بَكْرٍ

 “Orang yang paling penyayang di kalangan umatku ialah Abu Bakar”[4].
     
Seterusnya firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela”. Kita semua sedia maklum, para sahabat merupakan generasi mula-mula yang berjuang di jalan Allah dan bagi sesiapa  yang mengamati al-Qur`an pasti mereka akan menemui banyak ayat yang memperkukuhkan kenyataan ini dan demikian juga terdapat sekian banyak hadis-hadis yang memaparkan kisah para sahabat yang begitu konsisten dalam perjuangan di jalan Allah. Justeru, terlalu ganjil bagi seorang yang waras untuk menerima kenyataan kononnya para sahabat telah murtad sepeninggalan Rasulullah saw dengan berdalilkan ayat ini dan akal yang waras tidak akan dapat menerima bahawa golongan murtad telah mengalahkan orang-orang mukmin. Kenyataan sejarah memaparkan kepada kita bagaimana para sahabat di zaman khalifah Abu Bakar telah berjuang memerangi golongan murtad dan mereka mendapat kemenangan. Baiklah, katakan yang berlaku sebaliknya iaitu golongan murtad mendapat kemenangan maka ini akan lebih menyerlahkan lagi sinar kebenaran. Kerana tidak syak lagi dengan berlakunya gerakan jihad ini ianya menjadi bukti kebenaran khalifah “Abu Bakar, Umar dan Ali kerana merekalah yang telah berjihad di jalan Allah semasa Nabi masih ada dan mereka telah meneruskan jihad memerangi golongan murtad selapas kewafatan Nabi saw dan ketahuilah sesiapa yang mempunyai cirri-ciri sedemikian maka mereka adalah wali Allah sbh”[5].

3- Semasa mengemukakan ayat ini Tijani menganggapnya dalil yang kuat bahawa gejala murtad berlaku di kalangan sahabat. Tujuan beliau berbuat demikian adalah untuk menyatakan bahawa kaum yang digambarkan dengan sifat-sifat yang begitu tinggi dalam ayat berkenaan adalah Saidina Ali dan para pengikutnya. Ali Al-Qummi sependapat dengan Tijani dalam mentafsirkan ayat ini, ujar beliau: (…… ayat ini ditujukan kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. yang telah merampas hak keluarga Baginda dan mereka telah menjadi murtad dari agama Allah”(!!!) Manakala firman Allah yang bermaksud “maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia” adalah turun berkenaan Al-Qaa`im a.s dan pengikutnya, mereka berperang di jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela)[6].

            Kenyataan ini, selain mencerminkan kerendahan akal serta menyerlahkan suatu niat yang jahat dari penuturnya dan langsung bercanggah dengan kenyataan sejarah maka lebih malang lagi Al-Qa`im (Imam Mahdi yang umurnya belum menjangkau lima tahun) yang dimaksudkan itu sampai ke hari ini belum muncul-muncul!? Baiklah, sekiranya diterima bahawa ayat ini memang benar diturunkan tentang Al-Qa`im (Watak khayalan yang belum sampai umur matang) dan para pengikutnya maka saya mempelawa sidang pembaca merenung dan memikirkan, bagaimana boleh berlaku gerakan jihad oleh para penyokong Imam Wasi serta keturunan mereka melalui arahan Al-Qa`im yang akan datang selepas mereka.  Orang yang waras dan suci jiwa langsung tidak dapat menerima kenyataan karut sebegini.



[1] Thuma Ihtadaitu, hal. 101-102.
[2] Tafsir Attabari, jil. 4, hal. 622-623, rujuk Al-Qurtubi, jil. 6, hal. 142-143, Al-Baghawi, jil. 3, hal. 69,   
Fathul Qadir, jil.2, hal. 77, al-Muharr al-Wajiz, jil. 5, hal. 134.
[3] Majma’ al-Bayan jil. 2, hal. 122-123.
[4] Sunan al-Tirmizi jil. 5, Kitab al-Manaqib, no: 3790, sila rujuk al-Albani, Sahih al-Tirmizi, no: 2981.
[5] Al-Jami’ Li Ahkaam al-Qur`an oleh al-Qurtubi, jil. 6, hal. 143
[6] Tafsir al-Qummi, jil. 1, hal. 177-178.

No comments:

Post a Comment